Home

Friday, 14 February 2014

Bismillah...

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah. Masih diberi peluang untuk menulis di blog yang hampir terkubur sejak sembilan bulan yang lalu. Mujur sempat diselamatkan sebelum ia mencecah umur satu tahun tanpa diusik.

Ok, punca sebenar adalah MALAS. Seperti tiada apa yang mahu ditulis. Ada idea tapi tak sempat atau kesuntukan masa. Banyak juga idea dan peristiwa seputar apa saja yang mahu dicoretkan, tapi oleh kerana kemalasan yang melanda sanggup diketepikan semua itu.

Perkara ini terjadi disebabkan oleh kelajuan media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram melebihi dari segalanya. Orang zaman sekarang sudah malas mahu menulis panjang-panjang dan mahu membaca yang pendek-pendek sahaja. Lama kelamaan menjadi rindu dan malu. Rindu sebab teringin nak ulas buku macam dulu. Malu sebab masih ada lagi insan yang sudi komen di beberapa entry ulas buku sedangkan last post on April 2013.

Target saya tahun 2014 untuk aktif kembali, tapi kelekaan membuatkan saya terlupa bahawa Januari sudah perlalu dan dari ini sudahpun setengah bulan di Februari. Akan mula mengaktifkan blog dengan ulasan buku yang dibaca, bedah video dan juga lagu. InsyaAllah.

Semoga semangat!

Friday, 12 April 2013

Ramadan dah dekat

Ramadan dah nak dekat.

Kenapa?

Yalah, tak sabar nak sambut bulan baik ni. Boleh perbanyakkan amal waktu tu.

Dalam bulan-bulan lain kau tak buat banyak amal ke?

Erk...?
Bulan-bulan lain sibuk sikit...emm bekerja. Tak banyak masa nak khatam, tadabbur al-Quran setiap hari, qiam sepanjang hari...bla...bla...bla...

Ooo...macam tu.

*senyap

Kau tahu, Allah cakap, kalau nak buat amal tu jangan tunggu esok. Sebab, tomorrow never die tapi mungkin kita yang akan mati esok.

Apa kau cakap ni??!

Betul apa.

*krik krik krik krik....

"The man that decided to change on the twelfth hour dies on the eleventh."

Jumu'ah mubarakah people!

Thursday, 21 February 2013

Jzkk


Seriously aku nak nak bagitau kat kau, sebelum ni aku tak pernah tahu pun kod-kod seperti  2:155, 2:286, 6:2-3, 10:67, 47:7, 16:18, 59:21, 67:03, 93:11. Depan tu kod apa, belakang tu kod apa. Aku tak pernah tahu.”

“Ini bukan nasib baik, tapi syukurlah kau dah jumpa apa yang Allah beri. Hidayah tu Allah dah bagi, cuma manusia yang tak nampak. Kau dah tersedar pada jam yang kesepuluh, waktu-waktu kecederaan, waktu-waktu nak kiamat ni. Ingat Contengan Jalanan?”

“Erk?”

“Eh, betul la..petanda kiamat dah banyak dah.”

Aku diam.

Dia menyedut air teh O ais yang masih berbaki.

“Terima kasih sebab bawak aku ke jalan ni.”

Dia senyum je.

“Lagi satu kan, lepas kau bagi Contengan Jalanan tu aku rasa hidup aku macam ada sesuatu, terisi sikit. Mungkin inilah yang dicari oleh K2, erti hidup.”

“Aku tahu hati kau taklah sekeras seperti batu macam K2. Kau tahu, hati manusia ni kalau keras, lebih keras daripada batu tau? Sebab, sekeras-keras batu tu boleh la jugak air mengalir di celah-celahnya.” Senyum.

Aku menganggukkan kepala.

“Aku sebenarnya baru tahu apa maksud jazakumullahu khairan kathira (semoga Allah memberi kamu sebaik-baik ganjaran) walaupun aku selalu dengar kau cakap perkataan tu kat aku. Atau dalam SMS kau selalu tulis ‘jzkk’.”

Sengih kerang.

“Ha?! Kalau tak faham kenapa kau tak tanya?”

“Aku segan. Nanti kau gelak.”

Hahahah!

Tawa pun berderaian di bawah pokok mangga depan surau pangsapuri empat tingkat itu.


“Kemudian setelah itu hatimu menjadi keras, sehingga (hatimu) seperti batu, bahkan lebih keras. Padahal dari batu-batu itu pasti ada sungai-sungai yang (airnya) yang memancar daripadanya. Ada pula yang terbelah lalu keluarlah mata air daripadanya. Dan ada pula yang meluncur jatuh kerana takut kepada Allah. Dan Allah tidaklah lengah terhadap apa yang kamu kerjakan.”
[02:74]

Catatan asal pada 2339 PM, 140113

P/s: Mungkin ada yang terpinga-pinga, siapa itu Fend dan K2. Boleh rujuk entri ke bawah-bawah dan bawah.

Thursday, 31 January 2013

Urusan Cinta Belum Selesai



Novel ini diperoleh di Pesta Buku Selangor di SACC Shah Alam tahun lalu, siap bertandatangan penulis. Jujurnya, saya tidak pernah mengenali Imaen. Cuma mendengar nama sahaja. Kebetulan, dua kali saya ke Pesta Buku Selangor dan kedua-dua hari tersebut saya bertemu dengan penulis di booth Jemari Seni Adiwarna. Mungkin itu adalah satu tanda yang saya perlu membaca karya Imaen.

Pada mulanya saya sangkakan novel ini berkisar tentang cinta yang tidak kesampaian. Tetapi, sangkaan saya tersasar. Novel ini berkisar tentang Rauf yang bekerja sebagai seorang penulis sambilan dan mempunyai sebuah kedai buku kecil di tengah-tengah bandar Sungai Petani. Pelbagai konflik yang dihadapi, antaranya desakan ibu bapa yang mahu melihat Rauf mendirikan rumahtangga dan perkenalan dengan Manisyah, kononnya mahu dijadikan isteri. Namun rasa cinta Rauf semakin hari semakin mendalam terhadap Cinta, iaitu  gadis yang ditemui secara tak sengaja. Pelbagai kisah lucu dan menarik di awal perkenalan Rauf dan Cinta. 

Jujurnya, novel ini mengembalikan ingatan saya kepada Sungai Petani ketika menuntut di UiTM Merbok beberapa tahun yang lalu. Sungai Petani menjadi latar tempat utama dalam novel ini. Seriously, teringat dekat Sungai Layar, Semeling, Bandar Laguna, Merbok, Lembah Bujang, Tanjung Dawai, dan macam-macam lagi. Mahu kembali ke sana suatu hari nanti, insyaAllah.

Ternyata, percubaan pertama saya membaca karya Imaen memberikan tanda yang positif dan saya suka. Walaupun menggunakan gaya bahasa yang agak santai dan mudah difahami, bahasa yang digunakan tidak sekali-kali kelihatan terlalu 'pasar' atau rosak bahasa seperti tulisan dari beberapa penerbit buku yang lain. 

Gaya tulisan Imaen ada sedikit unsur sinis, tentunya tentang politik. Walaupun menggunakan nama parti yang berlainan dari parti di Malaysia  tetapi saya dapat meneka siapa yang dimaksudkan oleh penulis. Paling menarik, bagaimana Rauf mahu mendekati Cinta, anak seorang ahli politik yang berpengaruh tetapi mereka berlainan parti. Terdapat konflik di situ.

Selain itu, bahagian paling 'pedas' bagi saya adalah semasa Rauf keluar buat pertama kali dengan Manisyah untuk makan tengahari. Ketika sedang berbual-bual, Manisya sering kali menggunakan telefon bimbit untuk berbalas SMS dengan rakannya. Penulis ada menegur sikap Manisyah yang terlalu bergantung pada laman sosial dalam kehidupan seharian. Seperti kebanyakan kita pada hari ini. Keluar beramai-ramai dengan kawan, tetapi apabila sampai di tempat makan terutama yanga ada WiFi, semua jadi tidak pedulikan sekeliling. Lebih baik tidak payah keluar makan bersama jika masing-masing asyik dengan telefon bimbit. Kasihan kepada kawan yang tidak memiliki telefon pintar. Duduk tercongok seperti keluar makan dengan sebuah kerusi yang tidak boleh berkata-kata.

Saya cuba untuk mengelakkan tabiat itu di lain hari.

Apapun, tulisan Imaen sangat menarik dan berbeza. Sesuai kepada sesiapa yang sukakan watak yang serius dan tidak terlalu berkarat jiwangnya. Saya dapat tahu, novel-novel Imaen kebanyakannya aksi-romantik. Kalau suka cerita yang ada aksi tembang-menembak atau jenayah, boleh la cuba karya Imaen. Terima kasih kepada seorang teman yang selalu mencadangkan novel Imaen kepada saya.

Tiga bintang untuk buku ini.

"Hidup ini memerlukan sedikit pahit supaya kita lebih menghargai manis."

Friday, 7 December 2012

Buku: Kembara Sastera Nisah Haron

Tujuan asal membaca buku ini adalah untuk mencari idea untuk membuka sebuah kafe buku (suatu hari nanti). InsyaAllah.

Buku ini ringan dan santai kerana ia berkisar tentang kembara sastera seorang penulis. Ceritanya ringkas dan terdapat banyak gambar-gambar yang menarik. Boleh dibaca di mana jua kita berada. Saya pernah membaca hampir sebahagian buku di sebuah cafe sambil menikmati segelas kopi putih sejuk dan sepotong puding cream caramel.


Sebenarnya saya sedang cuba menikmati atau merasai sendiri membaca buku sambil ditemani oleh secawan kopi seperti yang diceritakan di dalam buku dan juga seperti yang dilakukan oleh kebanyakan penulis lain. Hi hi hi.

Ya. Rasa itu sangat awesome!

Ok. Bagi saya, buku ini merupakan kisah perjalanan menyingkap rahsia kota sastera. Apakah yang dimaksudkan dengan kota sastera (City of Literature)? Kota sastera merupakan kota yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Sintifik, dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) kerana terdapat sensitiviti masyarakat terhadap sastera dan nilai kesedaran yang tinggi oleh masyarakat terhadap karya agung mereka. Sebagai contoh, Kota Sastera pertama yang diiktiraf oleh UNESCO adalah Edinburgh (2004), kemudian  Melbourne (Ogos 2008), Iowa City (November 2008), Dublin (2010) dan Reykjavic (2011). Nak senang cerita, rakyat sesebuah negara itu mempunyai rasa cinta yang mendalam terhadap kesusasteraan negara masing-masing selain kualiti dan kuantiti dalam bidang pendidikan.

*Tidak seperti di Malaysia, kebanyakan rakyatnya mengagungkan hiburan semata-mata. Eh! Maaf.

Kembali kepada topik asal. Sebenarnya, saya pernah mengikuti bengkel penulisan cerpen yang dianjurkan oleh penulis beberapa tahun yang lalu dan saya agak gerun dengan ketegasan beliau. Beliau sangat tegas dalam berkata-kata. Hehehe. Waktu itu adalah kali kedua cerpen saya siap dan dipersembahkan. (Kali pertama ketika memasuki pertandingan menulis cerpen ketika di tingkatan lima, saya mendapat tempat kedua. Tak tahu macam mana boleh menang, mungkin kurang penyertaan :p Kih kih kih.)

Tiba-tiba teringat pesanan Puan Nisah kepada Shahkang Aizat yang sangat menusuk kalbu di halaman ke 31 buku ini. Katanya,

"Sebuah cerpen yang tidak bagus, tetapi siap adalah lebih baik daripada sebuah cerpen yang kononnya bagus, tetapi tak siap-siap!"

Sentap!

Karya William Shakespeare merupakan satu-satunya karya sastera Inggeris yang pernah saya baca. Itu pun beberapa kerat sahaja. Namun, di dalam buku ini saya dapat mempelajari lebih mengenai Shakespeare. Stratford-Upon-Avon, merupakan tempat kelahiran William Shakespeare. Kata penulis, Stratford-Upon-Avon  adalah sebuah pekan kecil tetapi menjadi besar kerana sasteranya. Di sini terletaknya rumah kelahiran Shakespeare terdapat banyak tugu-tugu yang berkaitan dengan watak-watak dalam karya-karya Shakespeare. Antara karya Shakespeare yang saya pernah baca adalah sewaktu di bangku sekolah dulu, Romeo and Juliet dan Sonnets.

Hay-On-Wye pula adalah sebuah Kampung Buku Pertama Dunia. Setiap tahun akan diadakan Hay Festival. lebih kurang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur juga la. tapi Hay Festival lagi best, katanya. Apa yang menariknya di sini adalah terdapat banyak buku yang dijual dan buku-buku itu dijual secara terbuka. Boleh pilih-pilih buku sambil menghirup udara segar. Oh, heaven kot!

Hay-on-Wye
Edinburgh, City of Literature 2004

Sesuatu yang menarik tentang Edinburgh adalah Stesen Edinburgh Waverly. Nama "Waverly" diambil sempena judul novel Sir Walter Scott, pengarang terkenal di Scotland. Judul buku pun boleh jadi nama stesen keretapi, sangat menarik. Jadi, tidak hairanlah Edinburgh dipilih sebagai City of Literature pada tahun 2004.

Memandangkan saya peminat setia JK Rowlings dan Harry Potter, tentunya saya amat tertarik dengan tempat tinggal penulis tersebut ketika belum terkenal sebagai penulis Harry Potter iaitu di Leith, Edinburgh, Scotland. Di sana terdapat sebuah kafe yang bernama The Elephant House. Kafe ini merupaka tempat JK Rowlings menulis sebahagian daripada bab novel itu. Ketika itu beliau belum dikenali dan masih menulis dengan tulisan tangan.

Kafe lagi. Inspirasi...

"Sastera dan budaya juga menjadi sebahagian daripada perkara yang membina peradabannya."

Dublin Bumi Shamrock, City of Literature 2010

Shamrock? Pada mulanya saya tertanya-tanya, apa itu Shamrock? Kemudian, Wikipedia memberikan saya jawapan ini. "The Shamrock is a three-leaved old white clover. It is known as a symbol of Ireland." 

Pokok ini namanya Trifolium Repens
Seperti di Malaysia juga, bunga kebangsaan negara kita adalah bunga raya :)

Selain Dublin City Gallery iaitu galeri modern art, pemandangan yang paling menarik di sana adalah The Garden of Remembrance, sebuah taman bagi memperingati mereka yang gugur sewaktu mendapatkan kebebasan untuk orang-orang Irish. Susunan bunga-bunga segar dan kerusi kayu itu sangat menarik!

Lihat, cantik bukan?

The Garden of Remembrance
London

Ketika di Kota London, saya tertarik pada 84, Charing Cross Road, London. Banyak sekali penulis bercerita tentang ini. Rupanya, ia adalah sebuah buku yang menghimpunkan kisah dua sahabat seberang lautan yang membeli buku secara pos pasca-Perang Dunia Kedua. Seorang di Amerika Syarikat, si pembeli bernama Helene Hanff dan Frank Doel, pekerja yang bertugas di kedai buku Marks & Co. yang beralamat di No. 84, Charing Cross Road, London. Namun kedai buku tersebut kini dinamakan Med Kitchen, sebuah restoran.

*Tiba-tiba saya terfikir, kalau saya berpeluang seperti penulis, saya mahu mencari lokasi istimewa filem Harry Potter, Platform 9 3/4 iaitu Hogwarts Express, yang akan membawa pelajar Hogwards ke sekolah mereka. Tak tahu samada ia betul-betul wujud atau rekaan semata-mata.

Cecil Court. Kawasan ini terletak bersebelahan dengan Charing Cross, ia merupakan syurga kedai buku terpakai. Nak tahu kenapa saya bercerita tentang Cecil Court? Kerana kawasan ini dikatakan memberi inspirasi kepada JK Rowlings ketika mencipta Diagon Alley dalam buku Harry Potter. Oh! Bestnya....

Cecil Court
Diagon Alley, Cecil Court dalam filem Harry Potter


Selain Harry Potter, Cecil Court juga pernah menjadi lokasi untuk filem Miss Potter (2006) dan The Last Bookshop. Bayangkan, terdapat satu lorong yang kiri dan kanannya terdapat kedai buku, di tengah-tengah kota London. Kalaulah di Malaysia juga begitu...

Kesimpulannya, buku ini sangat lengkap bagi penggemar buku dan sastera barat. Saya yang tidak berapa mengenali sastera barat secara tidak langsung dapat mengetahui sedikit demi sedikit beberapa nama baharu selain belajar subjek geografi. Seriously, tak pernah dengarpun Stratford-Upon-Avon dan Hay-on-Wye sebelum ni. Sadis. Membaca buku kembara ini terasa seperti saya juga turut ikut mengembara bersama. Buku ini juga mudah untuk kita melihat dengan lebih lanjut berkenaan sesuatu tempat kerana terdapat link yang disediakan di bawah setiap buku.

Lima bintang untuk buku ini :)

P/s: Tiba-tiba rasa macam nak pergi backpaking!

Thursday, 18 October 2012

Teach For The Needs


"We believe that everyone have their own potential to succeed."

Teach For The Needs is a non-profit based movement that aims to gather qualified teachers, volunteers and activists all around Malaysia in an effort to provide education opportunities for school pupils, especially those from less privileged households and orphanages who are unable to afford commercial tuition like their fellow peers. Academic excellence is often measured by the achievement in the examination. In the era of a globalized world, economic factors often limit the opportunity for weak class students, orphans and poor families to attend paid tuition classes.
Pada hari Ahad minggu yang lalu, saya berpeluang menjejakkan kaki ke Bangunan BAKTI Siti Hasmah, TTDI, Kuala Lumpur. Teach For The Needs (TFTN) bersama Youth of Hope (YOH) telah mengadakan Charity Garage Sale pada 13-14 Okt yang lalu. Charity Garage Sale adalah jualan amal yang dijalankan bagi mengumpul dana dan bantuan pembelajaran untuk anak-anak TFTN. Selain jualan amal seperti pakaian, buku, cookies, pelbagai aktiviti menarik juga diadakan di sana. Contohnya ada games untuk kanak-kanak, live performance dan art session.





Di situ juga, secara rasminya saya telah mendaftar sebagai sukarelawan TFTN. Senyum lebar. T_____T


Di sini, saya ingin menyeru dan mengajak kawan-kawan dan pembaca blog semua supaya memberikan sokongan anda kepada kami. Eh? Ya, kami. Cara yang paling mudah untuk anda memberikan sokongan anda kepada kami adalah dengan klik LIKE page Teach For The Needs di facebook. Mudah kan? Percayalah, dengan setiap LIKE yang anda lakukan secara tidak langsung anda telah membantu kami untuk mempromosikan TFTN kepada rakan-rakan anda yang lain.

Sasaran kami adalah 5000 Likes sebelum Konvensyen Pendidikan TFTN yang bakal diadakan pada 8 Disember 2012. Tidak susah untuk promosi - letakkan URL page TFTN di status anda - posting di group-group Facebook anda serta pesanan peribadi di inbox kepada mereka juga. Untuk maklumat lanjut mengenai TFTN ila rujuk di sini.

5000 LIKES untuk TFTN page.

Peace!

Thursday, 11 October 2012

The Eleventh Hour

Hari tu, saya terbaca blog seorang kawan. Dia membuat ulasan berkenaan Contengan Jalanan (baca berkenaan Contengan Jalanan di sini). Berkenaan seseorang yang tidak sabar menanti Ramadan berikutnya untuk berbuat amal. Kalau kita mati minggu depan?

Ramadan.

Ada orang excited nak sambut puasa sebab masa tu boleh pergi terawih. Tahu sajalah, pahala terawih tu besar. Bertadarus, qiamulail dan yang paling best dapat berpuasa. Pahala berganda-ganda wey! Memanglah kan, Ramadan tu bulan rahmat, bulan diturunkan al-Quran, bulan yang malamnya terdapat malam lailatulqadar dan macam-macam lagi fadhilatnya.

Tetapi, adakah anda tahu yang anda masih hidup atau pun tidak pada Ramadan tahun 2013? Kita tidak tahu ajal kita bila. Entahkan esok entahkan lusa. Minggu depan atau bulan depan atau sehari sebelum Ramadan 2013. Dan hasrat kita untuk melakukan amal secara besar-besaran tu tidak kesampaian sebab kita  menunggu Ramadan baru nak buat semua tu.

Dulu, saya pernah berperasaan seperti itu. Extra-buat masa bulan puasa. Kadang-kadang kita terlupa sebab tak ada yang mengingatkan. Tazkirah tu adalah dengar, tapi sekejap je dan tak terkesan pun nak berubah. Sebab tu orang kata tarbiyah tu penting. Saya pernah tulis dalam entri hari tu, (sila baca di sini) berkenaan ilmu tanpa tarbiyah umpama jasad tanpa roh.

Kalau tak ada orang yang tegur dan mentarbiyah kita memang susah sikit nak berubah. Masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Tarbiyah tak boleh sorang-sorang. Susah nak masuk.

Bila dah baca Contengan Jalanan, barulah saya sedar berkenaan the Eleventh Hour. The man who decided to change on the twelfth hour dies on the eleventh. Saya cakap kat naqibah, rasa rugi tak baca Contengan Jalanan dari awal. Lepas tu, kawan cakap, sepatutnya alhamdulillah sebab dapat juga baca. 

Ya, syukur alhamdulillah.

Masa tu saya rasa takut. Kalau menunggang motor, saya berharap selamat sampai rumah sebab waktu tu belum solat. Lepas tu, kalau tidur saya berharap esok saya ada lagi kat bumi ni sebab al-Quran tak habis taddabur lagi. Sebab sehari kadang-kadang baca sehelai. Kadang-kadang tak baca. Kadang-kadang tu sampai takut nak tidur. Sebab takut esok tak bangun-bangun.

Yang sebenarnya, kita ni takut mati. Betul tak? Kita takut bila kita mati konfemlah kita tak sempat dah buat semua tu. Kita takut kena pukul dalam kubur nanti sebab solat tak cukup lima kali sehari. Kata nak buat solat Dhuha, tapi bila tah nak hafal doa dhuha. Asyik tunggu esok esok dan esok. Kita sangat yakin yang umur kita panjang. Kita sangat yakin yang kita mungkin akan mati pada umur 60 tahun dan ke atas. Sebab time tu barulah nak berjemaah di masjid. Kita pun tak tahu yang sebenarnya Allah dah tetapkan dah tarikh kematian kita.

"Sesungguhnya Kami menciptakan segala sesuatu menurut ukuran (seperti ketentuan yang tertulis di lohmahfuz sebelum kejadian mereka). Dan perintah Kami (ke atasnya) hanyalah satu perkataan seperti sekelip mata." (al-Qamar : 49 - 50)

It's time to change my friend! Mari kita berubah bersama.

Friday, 14 September 2012

Contengan Jalanan - Hlovate


"The man who decided to change on the twelfth hour dies on the eleventh"

Sejak saya membaca novel ini dari halaman pertama hingga habis sebuah buku, otak di kepala saya sentiasa terngiang-ngiang baris ayat di atas. Kalau diterjemah ke dalam bahasa Melayu maksudnya lebih kurang begini, "Manusia yang telah memutuskan untuk berubah pada jam kedua belas meninggal dunia pada jam kesebelas." Atau nak lebih mudah faham, "Seseorang yang telah berazam untuk berubah, tetapi tak sempat nak berbuat demikian." Hajat yang tidak kesampaian.

Kata orang, kalau terdetik di hati tu nak bertaubat, terus je bertaubat sekarang. Jangan tunggu esok. Esok belum tentu ada untuk kita.

Memang tidak dinafikan, Hlovate adalah seornag penulis yang berjiwa Islamik yang sangat dekat dengan orang muda seperti saya. Pendekatan yang digunakan oleh Hlovate sangat serasi dengan saya. Oleh itu, Hlovate telah berjaya 'merentap' hati saya dengan Contengan Jalanan.

Gambar muka hadapan novel yang berimejkan sebuah buku catatan dengan sebatang pen dan secawan (saya tidak tahu kopi atau teh atau horlick atau milo atau air kosong sahaja), sangat menarik minat saya. Sesuai dengan tajuk novel. Kemudian ada quote di muka hadapan yang berbunyi begini: "Contengan pengalaman perjalanan cari Tuhan"

Ini kulit hadapan novel kisah Fend. Kisah K2 ada di belakangnya dengan gambar yang sama tetapi terbalik.

Yang uniknya tentang novel ini selain isinya yang sangatlah osem, novel ini terbahagi kepada dua cerita. Kisah satu berkenaan Fend dan kisah dua berkenaan K2, yang dipisahkan dengan gaya terbalik. Ketika saya membaca novel ini, ramai yang kata saya membaca novel terbalik. Oh, tetapi tidak.

I - Fend

Fend atau nama penuhnya Affendy, adalah seorang anak muda yang berjiwa seni. Seorang pelajar fotografi yang dunianya hanya berpaksikan lensa dan warna. Seorang yang sanagt mencintai muzik. Definisi hidupnya adalah, selagi ada warna dan irama, itu namanya bahagia. Fend cuba menyusun semula kamus hidupnya yang banyak terabai. Sehingga pada suatu hari, definisi hidupnya mulai hilang erti apabila dia bertemu dengan seorang gadis yang bernama Lia. Nak senang cerita, tentang seseorang yang terasa hidupnya missing dan kemudian mencari erti hidup yang sebenar.

Katanya, "The man who decided to change on the twelfth hour dies on the eleventh." Kemudian Lia menghulurkan sekeping DVD The Eleventh Hour. Sejak hari itu, hidup Fend sering terganggu dengan The 11th Hour. Kata Lia, dia cuba untuk berubah dengan apa yang dia belajar daripada DVD tersebut.

Yang membuatkan buku ini sempoi dan tak tertekan nak baca sebab gaya bahasa Hlovate yang bersahaja. Hlovate menjadikan Fend sebagai seorang yang dikenali oleh teman-temannya dengan soalan random. Contohnya, ketika Fend sedang berbual melaui telefon dengan Chad, sepupunya, mengenai novel Johny Got His Gun, iaitu kisah benar di mana watak utama novel tersebut hilang semua limbs and senses. Hilang segalanya kecuali nyawa kerana menjadi mangsa korban jerangkap samar. Ketika itu, Fend tiba-tiba terbayang bagaimana jika terjadi kepada diri sendiri. Dan soalan random itu pun keluar.

"Macam mana nak buat sujud syukur?"
"Kenapa Cat Stevens masuk Islam?"
"Chad, kau pernah dengar The 11th Hour?"

Saya yang sedang membaca ketawa sorang-sorang. Oh ya, Cat Stevens adalah nama asal bagi Yusuf Islam. Sayapun baru tahu.

Sebelum itu, Chad terlebih dahulu merasai missing dalam hidupnya. Chad mengajak Fend backpacking ke Australia pada bulan puasa. Tujuan sebenarnya adalah untuk mencari erti hidup. Mereka bermalam di Punchbowl Mosque, Sydney. Di sana, mereka berkenalan dengan Imam masjid, Zakariyya dan bapanya Tok Abdul Qadir serta Bapak Tono. Banyak sebenarnya perkara baharu yang dipelajari oleh Fend dan Chad. Tindakan berani mati Chad yang main terjah je untuk bacakpacking tanpa membuat perancangan apa-apa seperti siapa akan guide mereka, di mana mahu tinggal dan apa tempat-tempat menarik yang akan mereka lawati, konon mahu bermusafir dan kemudian beriktikaf di masjid tersebut sepanjang mereka di sana, ternyata membuahkan hasil yang tidak disangka. Kata Chad, ini namanya masjid-hopping!

Perkenalan dengan Akmal, pelajar Malaysia yang menuntut di University of South Wales, mendekatkan lagi Chad untuk mencari erti hidup. Fend yang pada mulanya macam paksa rela mengikut Chad membuat kerja-kerja masjid contohnya melipat sejadah dan mengemas masjid. Selain itu mereka juga makan nasi ambang dalam dulang, tadarus al-Quran, solat berjemaah setiap waktu,  mutabaah amal atau checklist amal, solat di tempat terbuka, bersedekah, qiamullail dan khatam al-Quran pada bulan puasa. Akhirnya, kesedaran itu hadir dengan sendiri.

Kata Akmal, dia lebih suka berbulan puasa di tempat orang kerana roh Ramadhan tu lebih terasa. Di Malaysia, Ramadhan  sudah menjadi satu budaya. Ramadhan itu bukan hanya diertikan dengan bazar Ramadhan, malam tujuh likur, meriam buluh di kampung, berbuka puasa di hotel mahupun rancangan masak-masak bulan puasa di TV. Kata Bapak Tono, puasa ini bukan hanya tahan lapar di perut sahaja, puasa itu untuk bersihkan roh.

Satu lagi perkara yang saya suka dengan novel ini adalah, setiap kali habis satu bab mesti ada quote di bawahnya. Quote bertulisan Melayu, Inggeris, petikan dari ahli-ahli sufi, mahupun terjemahan al-Quran. Dari situ, saya kemudian mula book-mark dalam kepala beberapa quote dari ahli sufi dan sarjana Islam. Sebagai contoh:

"I don't order you to abandon life but to abandon sins. Abandoning life is virtue and abandoning sins is a duty, so you need for this latter is greater than your need for your former."

[Yahya Ibn Mu'adh] 

Maksudnya: Aku bukan suruh kamu meninggalkan kehidupan duniawi, tetapi aku suruh kamu meninggalkan dosa. Untuk meninggalkan duniawi itu dikira terpuji tetapi untuk meninggalkan dosa itu tanggungjawab. Dan untuk meninggalkan dosa itu lebih penting daripada meninggalkan dunia.

Kata Fend sebelum mereka ke Australia, life dia macam tak ada benda yang nak regret kalau tak sempat nak capai sebelum mati. Orang yang tak berkesempatan adalah orang yang mati di jam  kesebelas.

"Nasib baik aku tak mati lagi sebelum sampai sini." - Fend.

Fend dan Chad akhirnya pulang ke Malaysia selepas dua minggu mereka backpacking ke Australia. Fend sempat mengucapkan "Jazakallahu khairan kathira." Semoga Allah memberi kamu sebaik-baik ganjaran. Sungguh la...Fend dah pandai cakap arab!

Ramadhan dah habis. Kata Chad, Ramadhan kali ni yang paling meaningful. Sekarang baru dia faham erti hidup. Hidup bukan diertikan dengan not muzik atau warna-warna, mengejar harta atau kerjaya, juga bukan diertikan dengan cita-cita, senyum dan ketawa. Hidup itu untuk akhirat.

"Aku rasa bersyukur kut sebab tersedar on the tenth. Tu pun dah masuk waktu kecederaan tu." - Chad.

"Nasib baik tersedar pukul sepuluh. Kalau tersedar pukul sebelas satu minit, makan asap la." - Fend.

Kesudahan cerita ini sangat indah bagi saya. Cukup sempurna. Bagaimana Fend yang dahulunya kaki muzik dan jamming akhirnya berubah hampir 360 darjah! Fend dan Chad telah diberikan kesempatan waktu oleh Allah untuk mencari erti hidup dan mengenali Allah itu dengan lebih dekat sebelum mati.

Dearest Chad,
Aku rindu kau.
Aku sayang kau.
Ada rezeki kita masuk syurga, kita jumpa kat sana, bro.

Chad akhirnya meninggal dunia pada tengah hari, hari raya pertama akibat dilanggar oleh lori kuari yang masuk secara haram di depan rumah Tok Wan. Saya menghabiskan bacaan kisah Fend di Platform 5, Stesen Sentral Kuala Lumpur dengan perasaan hati yang sebak dan bersyukur serta air mata yang hampir tumpah. Saya mengulang baca empat baris ayat di atas pada halaman 257 sebanyak tiga kali kerana terlalu sebak.

"Sesungguhnya Kami menciptakan segala sesuatu menurut ukuran (seperti ketentuan yang telah tertulis di lohmahfuz sebelum kejadian mereka). Dan perintah Kami (ke atasnya) hanyalah satu perkataan seperti sekelip mata." 

[al-Qamar: 49 - 50]



II - K2

K2 (dengan sebutan K square) adalah singkatan untuk Ku Kamaruzzaman. Dia adalah teman Fend dan merupakan pelajar Creative Studies. Seorang Drummer untuk Creepy Hues. Memiliki rambut yang panjang. Hidupnya berpaksikan seni dan  hidup baginya adalah mudah dan tidak perlu mencari susah. Setelah pemergian Chad, K2 mula merasai beberapa kehilangan lebih-lebih lagi Fend yang berubah hampir 360 darjah dan mulai menjauhkan diri. Pengalaman kembara ke Australia bersama Fend dirasakan seperti sebuah percutian biasa. Sedikitpun dia tidak merasai apa yang Fend dan Chad rasa ketika berkunjung ke tempat yang sama pada Ramadhan yang lalu.

Bagi saya, hati K2 lebih keras berbanding Fend. Fend lebih mudah 'cair' dengan pujukan Chad. Mungkin juga kerana minat K2 yang terlalu dalam dengan muzik. Mencintai lagu, menulis lirik, percussion dan apa saja berkaitan muzik. Banyak juga yang saya tak faham tentang istilah-istilah yang digunakan dalam kisah K2 yang kebanyakannya berkaitan dengan muzik dan seni lukis. Tapi, saya skip beberapa babak tentang itu.

Perubahan Fend menjadikan hubungan K2 dan Fend tidak berapa mesra. Fend lebih banyak mendiamkan diri. K2 tertanya-tanya apa yang Fend dan Chad lakukan sewaktu mereka backpacking sepanjang bulan Ramadhan ke Australia sehingga Fend berubah mendadak.

Saya rasa, Fend sangat  tersentap dengan pemergian Chad on the tenth hour. Chad sempat berubah sebelum meninggal dunia. Dan apa yang dia pelajari di Australia ingin disampaikan juga kepada K2. Fend kemudian menghulurkan DVD The 11th Hour kepada K2 dengan harapan hati K2 tersentuh. Tetapi tidak. K2 tidak dapat rasakan apa yang Fend rasa. 

Fend masih tidak berputus asa. Pada cuti semester, Fend mempelawa K2 kembara bersamanya ke Australia. Tempat dan perkara yang sama seperti apa yang pernah dilalui oleh dia dan Chad dahulu. Mungkin dengan cara ini boleh membuatkan hati K2 tersentuh dan sedar apa yang telah Fend alami.


Kata Fend,

"Aku cuma nak kau rasa apa yang aku rasa masa Chad bawak aku datang sini."

"Aku rasa sangat selfish kalau aku simpan benda tu untuk diri sendiri."

Di Australia, mereka bermalam di Masjid yang sama iaitu Punchbowl Mosque. Sejak tiba di situ, muka Fend berseri-seri. Sangat berbeza ketika di Malaysia. Masakan tidak, Fend dapat bertemu semula dengan Imam Zakariyya, Tok Abdul Qadir dan Bapak Tono. Di sana, K2 sendiri dapat rasakan perubahan Fend. Fend yang sewaktu dia terjaga di tengah malam, dilihatnya sedang bersujud di sejadah. Fend yang mengejutnya untuk bangun Subuh dan tidak kekok langsung solat Subuh berjemaah. Fend yang terus mengaji selepas Subuh. Ya. Itulah perbuatan yang telah membuatkan Fend berubah, lebih-lebih lagi perubahan itu dilakukan bersama Chad dan Chad, insan yang sama-sama berubah dengannya sudah tiada.

Di sana, K2 banyak juga bersembang dengan Bapak Tono, seorang yang berasal dari Indonesia. Bapak Tono berkongsi cerita tentang dia berhijrah ke Australia kerana mencari rezeki. Kata Bapak Tono, erti hidup di sini juga berbeza. Bunyinya seperti bumi yang sama, langit yang berbeza. Namun, langit itu masih juga langitnya yang tegak tanpa tiang, walau di bumi mana sekalipun. Langit itu masih juga milik Allah. Jika kita pandang untuk mancari kekurangan dan cacatnya, pasti kita juga yang lelah.

"Yang telah menciptakan tujuh langit berlapis-lapis. Kamu tidak sekali-kali melihat pada ciptaan Tuhan Yang Maha Pemurah sesuatu yang tidak seimbang, maka lihatlah berulang-ulang, adakah kamu melihat sesuatu yang tidak seimbang?"

[ al - Mulk : 03 ]

Beberapa minggu selepas pulang daripada Australia, K2 membuat keputusan untuk bermusafir ke Jakarta pula. Katanya, mahu mencari erti hidup.

Di sana, K2 mengenali apa itu pengamen iaitu orang yang mencari rezeki dengan bermain muzik. Kemudian, belum sampai satu hari di Jakarta, K2 sudah dapat melihat perbezaan erti hidup di sana. Ini dapat dilihat ketika K2 berteduh di bawah jambatan bersama pengamen dan penjaja makanan ketika hujan lebat. 

Pada hari yang sama, di bilik hotel, K2 terbaca sketchbook berkulit hitam yang pernah diberi Fend ketika pulang daripada Sydney tempoh hari. 

Contengan Jalanan.
Read and heed.

Sebuah buku yang penuh dengan lakaran Pilot G-2, seolah-olah sebuah timeline. Ada sedikit tulisan di bawah setiap lukisan. Salah satu tulisan yang membuatkan K2 menutup terus sketchbook itu adalah:

That Allah may forgive you your sins of the past and the future, and complete His favour on you, and guide you on the Straight Path. 

[ al - Fath : 02 ]

Fend, benda apa yang kau bagi ni, Fend?
Kau nak buat apa sebenarnya?

Seperti yang telah saya katakan tadi, hati K2 keras. Boleh tak, dia rasa sangat hipokrit sepanjang mengikuti Fend di Sydney hari tu. Dia buat apa yang Fend buat sebab dia berada di kawasan itu. Selepas pulang dari Sydney, terus dah tak buat benda tu. Memang prinsip hidupnya tak mahu hipokrit dan streotaip. Buat apa yang orang lain buat.

Indra. Perkenalan dengan anak muda yang bernama Indra itu sedikit sebanyak telah membuka hati dan pemikiran K2. Lebih-lebih lagi apabila mendapat tahu yang Indra adalah penuntut RCM, Royal College of Music di London. RCM adalah kolej yang pernah menjadi idaman K2 suatu ketika dahulu. Dan kebetulan mereka berdua amat meminati bidang muzik.

Indra membawa K2 mencari erti hidup yang dimahukan. K2 merasai sendiri duduk di atas bumbung gerabak keratapi ketika kertapi sedang dalam perjalanan. Saya dapat membayangkannya seperti dalam filem hindustan. Suatu hari, ketika sedang duduk di kaki lima sebuah kafe, Indra sempat bertanyakan tentang erti hidup yang dicari. Namun, K2 menjadi tidak pasti dengan apa yang dicari sebenarnya. Indra banyak menasihatkannya tentang makna kehidupan. Jawapan yang dicari sebenarnya sudah ada di depan mata, cuma kita yang membutakan. Indra juga ada bercakap tentang Tuhan. Katanya, tiada kuasa Tuhan, tiada soalan, tiada jawapan. Kalau tiada Tuhan, kau dan aku tak hidup.

Ketika itu azan Zuhur senang berkumandang.

Nggak solat?

Kau?

Aku kristian.

Ikhalas itu bukan kita yang ukur, tu biar Allah yang tentukan. Jangan sampai kita tinggalkan amalan ibadat sebab tak nak riak dengan manusia, kerana tu la tanda kita riak dengan Allah sebenanya.

Hari itu, K2 masuk ke dewan solat masjid berdekatan untuk menunaikan solat jamak Zuhur-Asar. Tak pernah terbayang yang dia sujut pada hari itu kerana seorang Kristian. Dia tak pernah tahu Indra adalah Kristian selama berkenalan. Rasa malu sebab memperlekehkan  tanggungjawab solat.

[ 59 : 21, 22, 23, 24 ]

Anda rasa nombor apa? Hehe. Surah ke 59 iaitu surah al-Hasyr, ayat 21 hingga 24. K2 jumpa nombor tu dalam sketchbook yang Fend bagi. Ya, nombor-nombor itu telah membukakan hati K2

"Indra, aku nak beli tiket balik. Aku rasa aku dah jumpa apa yang aku cari."

***

"Fend."

"Hmm?"

"Puasa lagi tiga minggu."

"Hmm."

"Jom balik kampung."

Fend terkejut melihat K2 datang ke biliknya dalam keadaan rambut yang telah hilang lapan inci daripada asal.

"Benda apa yang kau jumpa kat Indonesia sebenarnya?"

"Erti hidup."

-Tamat-

Saya tidak pernah merasai kehilangan seorang sahabat. Dan tidak tahu bagaimanakah persaan sedih itu. Namun, setelah membaca Contengan Jalanan, saya telah dapat merasai kehilangan itu. Watak Fend dan Chad seolah-olah hidup bersama saya. Sehingga, suatu hari selepas menamatkan bacaan saya rasa sedih sebab Chad dah tak ada. Ok. Chad dan Fend, hanyalah sebuah watak di dalam novel. Mereka berdua adalah lelaki dan bukan sahabat kepada saya. Kami tidak mengenali antara satu sama lain. Tetapi, mereka telah memberikan pengaruh besar kepada saya dan kehidupan saya.

Realitinya, watak-watak itu adalah 'hantu' masa lalu ciptaan Hlovate.

Dengan Contengan Jalanan, baru saya tahu yang Cats Stevens adalah Yusuf Islam. Kemudian, saya mulai research tentang Johny Got His Gun, dan The 11th Hour.

Banyak sebenarnya yang saya peroleh daripada buku ni. Kalau nak cerita memang tak muatlah kan. Saya ingin menyeru kepada kawan-kawan, bacalah Contengan Jalan.

Baca dan hayati.


Thanks Allah.


P/s: Teringin nak pergi Blue Mountain, nak tengok sendiri dengan mata kepala the Three Sister.

Tuesday, 17 July 2012

Semusim pertemuan

Teman maya. Mungkin ini adalah ungkapan yang sesuai. Sebenarnya, kami sudah lama saling mengenali di laman sosial. (Sila jangan fikir ini cinta pandang pertama, ok!) Cuma baru-baru ini saya berkesempatan bersua muka dan beramah mesra dengannya. Siapakah dia? Nanti, biar saya ceritakan terlebih dahulu detik perkenalan itu. Cewah!

Kira-kira lebih satu tahun yang lalu (sayapun sudah hampir lupa sebenarnya mungkin sudah dua tahun), saya menambah dia sebagai rakan di laman sosial facebook. Memang ketika itu saya suka menambah rakan yang yang ada kena mengena dengan penulisan, buku dan Goodreads. Tak sangka, rupanya dia pernah sekampus dengan saya ketika menuntut di UiTM Kedah. Beliau kini sedang mengambung pelajaran di UiTM Shah Alam.

Tidak puas bersembang di facebook chat yang selalunya annoying tu, kami bersembang di YM! pula. Dari situ, kami bertukar cerita mengenai buku yang baru dibaca dan baru dibeli atau juga buku yang paling best. Yang paling menarik, kami berkongsi minat terhadap penulis yang sama iaitu Faisal Tehrani (FT). Oh!

Beliau sangat cepat membeli buah tangan terbaharu FT dan tanpa segan silu berkongsi cerita dengan saya. Hehe, comel je kan? Saya ni jenis yang agak pending bab buku terbaru. Bila orang lain dah beli, baca dan buat ulasan di blog barulah saya tahu mengenai kewujudan buku tersebut. Uh! Sangat kasihan.

Pada bulan Mac 2012, saya mendaftar sebagai pelajar baharu di UiTM Shah Alam. Tiba-tiba saya teringat akan beliau. Rupa-rupanya, fakulti kami bersebalahan! Sebenarnya bukan besebelahan, tetapi kami berkongsi bangunan yang sama. Dia pelajar jurusan Undang-undang, jadi boleh la selalu jumpa. Oh, lupa. Kami belum pernah bersua muka, hanya berkenalan di facebook.

Kewujudan Twitter lebih mendekatkan lagi, orang kata dah tak ada segan-segan lagi nak bersembang. Setiap kali dia tweet tentang buku, laju je saya balas dan retweet semula. Pernah sekali dia tweet. "Akak, saya rasa tadi saya nampak akak di surau level 7!" Selepas mengetahui kelasnya bersebelahan surau level 7, selalulah saya pergi untuk solat Zuhur di sana. Dengan harapan akan selalu jumpa. Haha! Tetapi, tidak...susah juga nak terserempak dengan dia.

Kemudian, beberapa orang teman Tunas Mekar saya mendapat kontrak untuk berniaga di kafe Fakulti Pengurusan Perniagaan. Dan di situlah kali pertama saya terserempak dan bersua muka dengannya. Kebetulan, (memang banyak kebetulan sebab ini aturan Tuhan yang sempurna) dia merupakan rakan satu sekolah dengan salah seorang teman saya yang mendapat kontrak di kafe tersebut. Ah! Alangkah kecilnya dunia ini. Kami bersembang-sembang kosong dengan penuh teruja kerana akhirnya dapat juga berjumpa!

Baru-baru ini berlangsung Pesta Buku Selangor. Kami berjanji di Twitter untuk bertemu pada Jumaat, 6 Julai 2012. Pada hari tersebut, penulis profilik Faisal Tehrani akan datang membuat sesi bacaan cerpen pelbagai bahasa. Bagi dia, mungkin sudah banyak kali jumpa. Saya pula yang berdebar sebab pertama kali jumpa. Hehe. Alhamdulillah, sempat jumpa, minta tandatangan dan bergambar. Sebelum itu, saya SMS kakak, mengatakan keterujaan bertemu dengan FT. Huh, kakak saya ketawa kerana dia sudah selalu jumpa FT.

Pulang daripada pesta buku, kami pergi makan malam bersama. Kami bersembang dengan penuh isi (bukan sembang kosong) tentang jurusan undang-undang yang diambil, sebab saya pernanh terbaca blog beliau yang macam struggle menjadi seorang pelajar law. Kemudian bercerita tentang fakulti perniagaan yang berhantu. Errrk!

Selepas makan, kami pulang. Dan sebelum dia masuk ke kolej sempat lagi bercerita. Katanya, kalau nak jumpa FT selalu kenalah jadi penulis dan berguru dengan FT. Saya? Gulp!

Seminggu selepas pertemuan itu, peperiksaan akhir pun tamat. Seya bertemu dengan dia lagi, kali ni sekejap je sebab mahu memulangkan sesuatu yang tertinggal. Pertemuan yang singkat tetapi banyak isinya. Saya sempat menghulurkan satu bar panjang coklat Cadburry sebelum pulang dan mengucapkan selamat bercuti. Semoga kami beroleh keputusan yang baik. Amin.

P/s: Kerana terlalu teruja di pesta buku, kami terlupa untuk mengabadikan gambar bersama. :p


Sunday, 8 July 2012

Ilmu dan tarbiyah

"Ilmu tanpa tarbiyah umpama jasad tanpa roh"

Kosong.

(sila jangan imagine Najwa Latif)

Pernah dengar kata-kata ini? Saya pernah dengar. Tetapi mendengar dengan penuh teliti dan memahami adalah beberapa hari yang lalu, lewat usrah bersama akhawat di masjid negeri. Meskipun topik yang dikongsikan adalah tentang Ramadhan, namun di akhir liqa' seorang sahabat sempat bertanyakan sesuatu kepada naqibah. Apa pendapat anti tentang ilmu tanpa tarbiyah? Saya sedikit pending, dan terpinga-pinga.

Hmm, mungkin ada segelintir anda tak berapa faham. Baiklah. Saya ingin katakan ilmu tak sama dengan tarbiyah, walaupun ia daripada golongan yang sama iaitu pendidikan. Tarbiyah bermaksud pendidikan. Menurut laman sesawang Wikipedia, tarbiyah membawa maksud proses pengembangan dan bimbingan, meliputi jasad, akal dan jiwa yang dilakukan secara berterusan, pendidikan dengan penyampaian ilmu serta boleh diamalkan dalam kehidupan seharian.  Ilmu pula bermaksud pengetahuan, menyelidik serta melakukan sesuatu untuk meningkatkan pemahaman manusia.

Jelas?

Tarbiyah itu sangat halus. Sebab itu saya setuju dengan kata "Ilmu tanpa tarbiyah umpama jasad tanpa roh". Kalau kita setakat pergi sekolah balik sekolah, buka buku tutup buku, nak exam baru nak baca buku kemudian timbullah persoalan, kita ni exam sebab apa? Sebab nak lulus? Hah! Samalah situasinya seperti ini. Kalau tak study tak boleh lulus exam. Lulus exam sebab nak apa? Sebab nak naik ke semester berikutnya dan dapatkan CGPA yang gempak! Kemudian, kita bukan praktikkan pun apa yang kita belajar. Selepas exam dah lupa apa yang dihafal. Yaaa, dah kalau belajar setakat nak lulus exam kannn.

Itu sebab, dalam Islam kita digalakkan mentarbiyah dan ditarbiyah dengan ilmu-ilmu agama. Bukan apa, ilmu ini untuk kegunaan seharian kita juga. Ingat ya, ilmu agama bukan sekadar keluar masuk masjid mendalami al-Quran, bahkan ia sangat besar dan menyeluruh. Nak makan, ada adabnya. Nak bergaul dengan lelaki yang bukan muhrim (bukan tak boleh, tetapi), ada batasnya, nak mendirikan rumah tangga, ada ijab dan qabulnya.  Nak bekerja sebagai seorang eksekutif, polis, jurugambar, penulis, tukang masak dan sebagainya, ada etikanya. Kerana segala apa yang dilakukan adalah semata-mata mahukan keberkatan daripada Allah.

Ada dua tiga orang teman saya yang sudah bekerja. Mereka sangat berkaliber dan bergaya. Setiap hari pergi kerja dengan rajin, bangun awal untuk persiapkan diri, katanya tak mahu lewat nanti ada bad record, susah nak naik gaji. Mereka sangat mengejar kenaikan gaji dan memilih tempat kerja yang menawarkan gaji yang lebih tinggi. Saya pula yang rasa cemburu. Ya, mereka sangat...orang putih kata workaholic. Tetapi sayang, banyak waktu senggang mereka tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Kerja office hour, pukul enam sudah pulang. Malam Facebook sampai lewat. Kalau hujung minggu tonton movie sampai ke pagi. Keesokan harinya bangun lewat, Ya lah, setiap hari bangun awal untuk ke pejabat. Waktu itulah nak tidur puas-puas. Kemudian, bangun makan dan sambung menonton movie ataupun Facebook.  Pernah suatu hari tu dia kata, 'hujung minggu aku ni kosong, duduk dalam bilik je online. Yalah, orang tak ada boyfriend nak bawa keluar.' Pernah saya ajak pergi usrah, ataupun daurah hujung minggu, ada pengisian sikit. Katanya, 'hmm, tak apalah...'

Saya berharap anda faham akan situasi di atas. Mereka faham. You Tube Ustaz Azhar Idrus selalu je ditonton dan banyak info tentang agama diperolehdari internet. Tetapi, ilmu jika tidak diamalkan maka jadi apa? Sia-sialah. Tuntut ilmu ni kena berguru, wlaaupun berguru dengan sahabat sendiri. Mungkin ilmu agama dia lebih tinggi daripada kita. Tak boleh sekadar membaca saja.

Oleh itu, isilah. Penuhilah dada kita dengan ilmu-ilmu yang bermanfaat. Berdampinganlah dengan orang yang baik-baik, hampiri mereka dan bersahabatlah dengan mereka. Tidak rugi manapun.

P/s: Kalau saya lebih suka pepatah seperti ini, "Ilmu tanpa tarbiyah umpama langit yang cerah tanpa awan. Panas!"

Dapatkan Majalah Jom! Majalah khusus untuk panduan para Dai'e.

Sunday, 24 June 2012

Langit tak selalu cerah

"La yukalifullahu nafsan illa wus'aha"

Kawan-kawan,
'Sesungguhnya Allah tidak membebani seseorang hamba melainkan sesuai dengan kesanggupannya.'

Al-Baqarah: 286

Saya meletakkan penyataan di atas sebagai status di Facebook beberapa hari yang lepas. Apabila berhadapan dengan minggu-minggu akhir kuliah, rata-rata antara kita sering mengaduh dengan ketidaksempatan menyiapkan pelbagai tugasan. Saya antara mereka yang mengaduh. Kerja-kerja persatuan di dalam dan luar kampus jadi bertindih. Assignment, persediaan untuk kuis dan test, kertas kerja projek dan juga kelas yang mesti pergi setiap hari. Ada yang perlu disiapkan serentak. Dalam seminggu ada dua-tiga test. Bukannya tak biasa. Saya dah lalui lebih teruk semasa di Kedah. Tak sangka ianya terjadi lagi di Shah Alam. Jadi, saya menganggapnya memang lumrah kepada sesiapa yang bergelar pelajar.

Pernah saya terbaca dari blog seorang kawan, katanya kadang-kala dia merasa bosan dengan sistem pembelajaran di universiti yang agak rigid dan terkejar-kejar. Ya, saya sangat-sangat-sangat setuju dengan pernyataan itu. Segalanya perlu dihantar ontime. Satu semester ada empat, lima bulan saja atau bersamaan 14 minggu. Dalam satu-satu masa pelajar perlu mengambil enam hingga sepuluh subjek. Semester ini saja saya mengambil lapan subjek. Cuba bayangkan jika anda perlu menghantar assignment setiap minggu, belum lagi kuis dan test. Aktiviti persatuan di fakulti, di kolej, tak kan tak nak join kan?

Masalah inilah yang dihadapi oleh pelajar sekarang, stress. 

Apabila perkara ini terjadi, saya menjadi tak tentu arah. Pernah sekali, saya dipanggil ke bilik Timbalan Dekan berkenaan kertas kerja yang sepatutnya tidak lulus. Kami buat program tanpa pengesahan daripada pihak HEP. Saya punyalah kecut perut sebab saya adalah ketua. Saya seorang yang tampil. Hampir setengah jam saya di kaunseling. Saya kena marah, kemudian dinasihat dan dipujuk semula. Sebelum Timbalan Dekan akhirnya menurunkan tandatangannya.. Saya hanya diam tanpa kata. Dan apabila  keluar dari bilik Timbalan Dekan, saya cuba menahan tangis, tak mahu rasa 'sakit' diketahui rakan-rakan.

Dua minggu selepas itu, kelas saya menganjurkan seminar keusahawanan. Pensyarah mahukan yang terbaik. Waktu itu saya sangat letih. Balik lambat. Tidur selalu tak cukup. Dalam kelas mengantuk, makan jangan ceritalah, tak pernah sempat. Alhamdulillah, seminar berjalan dengan lancar dan mendapat pujian beberapa pihak.

Pada minggu yang sama sebenarnya, saya mendapat desakan daripada beberapa pihak untuk segera menghantar kertas kerja. Kali ini untuk persatuan di luar fakulti dan di luar kampus. Pernah sekali ada seorang bertanya kepada saya, "awak ni ke hulu ke hilir macam tak ada kelas atau assignment je?" Saya, gulp! Tak ada kelas awak cakap? Sebab saya ada satu je dalam dunia ni. Daripada satu itu saya membuat banyak kerja. Seorang teman sekelas pernah melarang saya kerja separuh masa, dia suruh saya study. Kemudian, seorang lagi melarang saya daripada pergi usrah, dan suruh saya study. Datang pula lagi seorang, suruh saya tak payah pergi aktiviti persatuan di luar kampus itu lagi dan tumpukan sepenuh perhatian kepada pembelajaran. 

Sehingga pada satu saat, saya menyerahkan projek kepada orang lain kerana saya rasa selagi saya yang menjadi ketua ia tidak akan berjalan. Ternyata selepas projek itu diserahkan, aktiviti berjalan dengan lancar. Saya mengucapkan tahniah. Sejak itu, saya faham. Saya gagal menjadi seorang ketua. Saya pernah merayu kepada seorang kawan, rasa macam nak lucut semua jawatan yang ada. Tetapi katanya, kalau bukan kita yang gerakkan siapa lagi?

Dan saya?

Dan saya pun pulang ke rumah lewat malam, dan mengaduh kepada Tuhan. Ayat itulah yang saya sebut berulang kali. Terlalu banyak perkara yang perlu saya lakukan dalam masa yang singkat. Semoga Allah berikan saya kesempatan waktu dan hati yang kuat sehingga ke akhir semester. Amin.

P/s: Ini mungkin kisah duka. Tetapi percayalah, langit tak selalunya cerah. Saya akan hadir semula menghiasi pelangi di blog ini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails